Singa Beng bukan salah satu 'spicies' singa yang ada atas muka bumi, Singa Beng adalah berlainan dengan minuman yang ada.

Thursday, August 31, 2006

Uda dan Dara Berjuang Di Malam Merdeka

Pada pagi ini dengarlah jeritan batinku "Merdeka! Merdeka! Merdeka!", maaflah, aku tak sempat nak menjerit perkataan keramat itu bersama yang lain semalam. Aku kesibukan semalam dengan mesyuarat yang tamat hampir pukul 2 pagi.

Di depan pejabat kami, ada dua buah rumah sewa siswi dari kolej sebelah, belum sampai pukul 11.00 malam, rumah itu sepi, sepi yang amat. Oit oit!, aku bukan skodeng tapi hanyalah menjaga kemaslahatan sesama jiran. Tidak lebih dari itu. Ha ha ha.

Aku mengagak, mereka ini tidur awal supaya dapat bangun awal pagi dan mungkin juga ingin menyertai perbarisan ataupun apa-apa acara yang akan dijalankan di bandar pada pukul 8 pagi ini.

Aku dalam hati, "Alhamdulillah.. ada juga orang muda bersemangat dengan hari merdeka ini".

Kami tidur di pejabat pada malam merdeka, sedar, sedar sahaja sudah subuh, dan bangkit untuk menunaikan solat subuh.

Sesudah menunaikan solat subuh, di luar pejabat terdengar kebisingan enjin-enjin kereta dan motorsikal, kami jadi kalut dan panik, apakah pihak penguasa datang menyerbu, disebabkan kami tidak menyambut merdeka semalam?. Ha ha ha.

Rupanya anak-anak dara di depan pejabat kami, baru pulang ke rumah bersama teman lelaki masing-masing. Kelihatan wajah masing 'keletihan dan kelesuan'. Mungkin penat sambut merdeka malam semalam.

Dari kejauhan, aku dapat mengagak, ke mana mereka pergi semalam, dalam sesuatu hal, kita mesti bersangka baik, aku sangka, mereka semua ini pergi berjuang di tempat yang dipaparkan di bawah ini :

sumber gambar : Utusan Online

Pasti ayah dan mak diaorang akan berbangga dengan anak-anaknya, begitu perihatin dengan merdeka dan tanah air.

Syabas aku ucapkan kepada pemimpin-pemimpin negara, yang mana, melahirkan ramai remaja yang bersemangat untuk menyambut merdeka, bermula detik 12.00 Tengah Malam hinggalah ke subuh hari. Syabas!.

Terima Kasih Malaysia!

Hari Melawat Sedunia
Generasi Merdeka Kebanggaan Negara
Seloka asmara Uda dan Dara Menghiasi Malam Merdeka

Wednesday, August 30, 2006

Khutbah Merdeka

Merdeka! Merdeka! Merdeka!

Dalam parlimen, wakil rakyat berbahas, kenapa mesti ada pertembungan di antara program Siti dan Ina Mawi. Uwah! program Siti adalah program rasmi negara, layaknya sepertimana Ucapan Titah DiRaja yang harus disiarkan di media perdana dan tidak boleh bertindan dengan program lain.

Merdeka! Merdeka! Merdeka!

Anak-anak Islam yang baru dilahirkan, anda adalah anak merdeka, sampaikan perkataan ISLAM tidak akan ditulis pada sijil kelahiran anda. Merdekalah anda, umur anda 18 tahun barulah boleh memilih agama yang mahu di anuti.

"Benar. Bermula dari bulan Jun 2006. Ini adalah kerana bayi tersebut berhak menentukan agamanya sendiri apabila berusia 18 tahun."

Merdeka! Merdeka! Merdeka!

Kerajaan kita telah merdekakan kita, merdekakan dengan cara mempersetujui apa yang IFC tuntut, syabas kerajaan, syabas, kita sebagai anak malaysia amat berbangga dengan kerajaan. Secara tidak langsung kerajaan hendak memerdekakan agama Islam yang dirasakan terkongkong oleh setengah pihak.

Syabas! Tahniah! Terima kasih! Hanya perkataan itu sahajalah yang kita semua dapat beri kepada kerajaan yang berjasa kepada rakyat, yang mana mempertujui secara tidak langsung dengan tuntutan IFC.

Antara tuntutan IFC:

"Seorang anak yang dilahirkan oleh ibubapa Islam tidak seharusnya secara terus menjadi seorang islam".

Merdeka! Merdeka! Merdeka!

Kerajaan telah memerdekakan SENI kita, filem tanahair, apabila GUBRA dinobatkan sebagai pemenang anugerah filem terbaik. Syabas kerajaan kerana menobatkan filem yang mencemarkan budaya itu sebagai filem terbaik. Syabas dan Tahniah!.

Merdeka! Merdeka! Merdeka!

Sekian sahaja khutbah Merdeka aku, kalau nak ikutkan nak panjang lagi, tapi cukuplah setakat ini, sebab aku dah sebak dengan kutbah aku sendiri.

Selamat Menyambut Hari Kebangsaan kepada semua rakyat Malaysia, semoga anda berbangga menjadi anak malaysia.

Jom nyanyi sama-sama, "Saya anak Malaysia... " (ulang 4 kali).

Tuesday, August 29, 2006

Kafe Kami Ada 3 TV

Nasib baik dah ada entri Merdeka, sebenarnya aku malas nak buat cerita pasal merdeka, sebab tak rasa pun merdeka lagi.

Semalam lepas sahaja balik dari jawab 'test', terus bergegas ke kafe, sepatutnya aku kena jawab satu jam setengah, aku hanya jawab setengah jam.

Oit oit bukan sebab aku nak tengok Datin Siti dan Dato' K, loya aku kalau korang cakap gitu. Aku cuma kelaparan bagaikan tidak makan 8 hari.

Disebabkan kafe kami ada 3 biji TV, yang dipasang secara serentak, tv pertama untuk lihat Datin Siti, tv kedua untuk lihat ina dan mawi dan satu lagi untuk lihat kedua-kedua rancangan tersebut, jika di sini iklan dia akan alihkan kepada rancangan satu lagi. TV tersebut dikawal oleh Makcik kafe, yang tidak mahu terlepas kedua-dua rancangan.

Sambil mentekedarah, aku lihat Datin Siti bersanding, ina dan mawi berbicara, jadi aku tak dapat mengfokuskan apa sebenarnya yang berlaku.

"psstt... psttt .. ko tengok muka Siti, muka kelesuan dan keletihan."Member 1.

"hehehe barang halal, rugi kalau tak buat."Member 2.

Aku. Langsung tak paham apa yang member aku borak. Ha ha ha.

Malam semalam, tunggu iklan proton yang mendapat liputan oleh blogger semalaysia, sebab aku tak pernah tengok lagi. Tapi aku tak sempat. Perut aku meragam. Naik bilik layan lagu merdeka. The Official, sebuah kumpulan okestra Merdeka dari Malaysia Ha ha ha. Lagunya Remember Yesterday dan We Proud To Be Malaysian.

Hari Melawat Sedunia
Guru Pasca Merdeka
Kemeja T Pilihan Naga
Iklan Merdeka Tok Rimau
Iklan Merdeka Dugong
Didiklah Kami

Monday, August 28, 2006

Entri Pendek Merdeka

Tepat jam 12.00 tengah malam 31 Ogos setiap tahun, kumpul ramai-ramai, di dataran merdeka mahupun di KLCC mahupun ditempat lain di seluruh negara.

"4, 3 , 2, 1 ... Merdeka! Merdeka! ".

Perit tekak laung Merdeka, pakat ramai-ramai singgah pub, disko nak hilangkan dahaga dan keperitan. Penat sungguh nak merdeka, kenalah sambut dengan betul-betul dan sepuas hati.

"Parti botol bergelimpangan.. " bak lagu Alhamdulillah, Yasin feat Too Phat.

Lepas tu, muda-mudi pergi ke hotel-hotel, celah-celah lorong, tepi-tepi semak, pakat-pakat buat anak merdeka.

Merdeka sungguh di malam merdeka Malaysia.

Sekian, entri pendek Merdeka.

Thursday, August 24, 2006

Aku Yang Emo

2, 3 hari ini aku sedikit emo, mungkin banyak masalah, mungkin banyak kebuntuan ditemui daripada penyelesaian.

Untuk menghilangkan sedikit emo, dengar lagu emo, aku dengar lagu Muse - Exo-Polotics dipetik dari album Black Holes and Revelation, album baru, tapi, aku kecewa, emo aku lebih lagi daripada keemoan lagu tersebut.

Mungkin Muse tidak seemo dan tak se'psyco' dulu.

Ya ya, aku jujur mengaku, aku anak mak, aku ikut semua kehendak mak aku, tanpa mengira kepentingan orang lain.

Korang siapa yang hendak membantah dan mempertikaikan arahan mak aku kepada aku? Siapa? Siapa?

Mungkin lepas ini aku akan dengar lagu dari Republic Of Bricfield - Dunia Perlumbaan, untuk me'regae'kan jiwa aku.

Oit oit 'regae' tu bukannya sama dengan 'gay'.

Hari Melawat Sedunia
Tok Rimau Yang Jujur

Monday, August 21, 2006

Siasah Mesti Berprinsip (Special)

Aku nak ucapkan terima kasih kepada orang yang 'copy n paste' artikel aku Siasah Mesti Berprinsip ke dalam tranungkite dan al-ahkam seterusnya mendapat komen yang amat memberangsangkan.

Terima kasih juga kepada orang yang komen dengan ayat sebegini rupa:

" panyajak dan penulis sketsa ni adalah manusia2 pengecut dan bertaqiyah dibalik mainan bahasanya. ".

Cuma aku disini kurang memahami, perkataan pengecut dan bertaqiyah itu dipandang dari sudut mana dan apa.

Aku ingin menjawab berdasarkan kisah sahaja:

Peristiwa ini berlaku apabila Nabi Ibrahim dibakar oleh Firaun, dan ketika api marak membakar, ada seekor cicak, cuba menghembus-hembuskan angin untuk menguatkan lagi bakaran tersebut.

Walaupun kita tahu, apalah sangat hembusan nafas cicak itu, tidaklah memarakkan api tersebut. Akan tetapi kita harus faham, tindakan yang dilakukannya itu menyimpang dari kebenaran, dan mengundang kemurkaan Allah, kerana menyokong kebathilan dan menidakkan akan kebenaran.

Maka dengan itu, jadilah kita seperti burung kelicap, burung kecil tersebut, berulang-alik, membawa air di paruhnya yang amat kecil, amat kecil, untuk diletakkan di dalam api tersebut dengan harapan api tersebut akan padam.

Berkatalah binatang-binatang lain, yang amat pelik dengan kelakuan burung tersebut:

"Wahai burung, kenapa kamu buat begitu?, kamu tidak sedarkah? kelakuan yang kamu buat itu adalah sia-sia!!!".

Maka berkatalah burung tersebut:

"Wahai binatang-binatang sekalian, aku cukup takut bilamana hari pembalasan kelak, ketika Allah swt menyoal aku, apakah aku lakukan ketika mana pihak kebathilan menyeksa akan pihak kebenaran, sepertimana hal Nabi Ibrahim ini. Sekurang-kurangnya aku dapat menjawab kepada Allah, ya Allah, aku telah membawa air didalam paruh aku yang amat kecil ini untuk memadamkan api tersebut".

Pilihlah sendiri, mahu jadi cicak ataupun burung kecil itu.

Adapun demikian, jika kita tidak mampu untuk mengubah keadaan, janganlah memarakkan kebangkitan pihak yang bathil dengan membenarkan tindakan pihak tersebut dan mencela pihak yang benar.

Nota Kaki Bukit:
Kepada individu yang 'copy paste' artikel aku itu, sila tinggalkan nombor telefon untuk dihubungi. Mungkin ada hadiah dari pihak penaja. Ha ha ha.

Sunday, August 20, 2006

Lahir Tanpa Islam

Aku dengar satu dialog semalam.

"Ustaaaazzz.. anak saya yang baru lahir tak ada agama.."keluh orang tu.

"Tak ada agama?"Ustaz.

"Dalam sijil kelahiran anak saya, tiada perkataan 'ISLAM' tercatat di ruang agama, yang ada hanyalah tanda ini '-', apa yang patut saya buat ustaz....."Orang tu.

Kepada ibubapa yang baru sahaja lahirkan anak, sila periksa sijil kelahiran anak anda, betul ke tiada ISLAM di tulis pada sijil tersebut.

Hari Melawat Sedunia.
Weblog Presiden Iran Ahmadinejad.

Friday, August 18, 2006

Bangang Islam Liberal

Apabila ada orang kata "I sound like stupid if I speak in Malay."

Ada orang jawab "Saya kesal (dengan apa yang telah berlaku)..."

Orang tu tak kesal langsung bila ada orang kata agama Islam sama sahaja taraf dengan agama-agama lain.

"Agama Islam tiada bezanya dengan agama lain"kata dia.

Kesal bila melayu dihina, langsung tiada kekesalan bila Islam dihina. Sepatutnya bila soalan itu dikemukakan, kita seharus jawab:

"Tiada agama yang tertinggi lagi melainkan agama Islam!"

Tapi puak islam liberalisme tidak mengerti.

Thursday, August 17, 2006

Akta Untuk Kau Universiti

Adapun di sebuah negeri yang berdekatan dengan dengan negeri Iskentambola, Kerajaan pemerintahnya memperkenalkan satu akta yang dibuat khas untuk Mahasiswa.

AUKU - Akta Untuk Kau Universiti, itulah aktanya.

Sebilangan kecil daripada Mahasiswa di negeri tersebut tidak bersetuju dan mendakwa akta tersebut menyekat aktiviti dan idealisme mahasiswa.

Sebilangan kecil lagi bersetuju dengan akta tersebut, kerana mendakwa, kita mesti bersetuju dengan apa sahaja kerajaan cadangkan, kita patut menunjukkan kecintaan kita kepada negara.

Sebilangan besar pula bersikap tidak ambil peduli, selalu ikut kelakuan budak kecil Aiman "aiman tak kisaaaah".

Adapun sebahagian kecil itu berkata, AUKU menyekat dari lahirnya pelapis kepimpinan negara, dan akan menyebabkan negara akan lesu di masa mendatang.

Adapun demikian sedarlah, negeri tersebut telah membuat akta yang bersesuaian dengan ciri-ciri untuk menjadi kepimpinan di negeri tersebut.

Pemerintah negeri tersebut, mahukan Mahasiswa yang akan menggantikan pemerintahan negeri tersebut, bercirikan :

Pertama,
Tidak mengambil kisah, apa-apa sahaja isu yang tercetus di dalam negara, hanya berdiam diri dan bersikap "illegal silent". Contoh : isu murtad, ia tidak pertahankan islam sebaliknya, berdiam diri.

Kedua,
Tidak mengambil kisah, apa-apa sahaja isu yang terjadi di luar negara, walaupun negara tersebut sesama agama Islam, akan tetapi mengambil sikap tidak ambil peduli, hanya tunduk kehendak dunia. Contoh : Isu Palestine, Hampir sebulan Israel menyerang Palestin dan Labenon barulah menunjuk muka yang tidak bersetuju atas serangan tersebut.

Ketiga,
Bersikap kurang ajar. Contoh 1: Apa yang berlaku di UPM, Mahasiswa Melayu yang kenali aspirasi bertindak kurang ajar kepada Mahasiswa cina. Contoh 2 : Polis bertindak kurang ajar kepada ahli Demotrasi dengan menghadiahkan water canon dan cota.

Keempat,
Menjadikan rasuah sebagai teman hidup dalam memimpin. Rasuah dianggap biasa dan tidak cuba untuk membersihkan.

Kelima,
Untuk menjadi pemimpin negara tersebut, hendaklah pandai mengampu, pandai membodek walaupun tindakan pemerintah tersebut salah. Pihak pemerintah tidak sempat menghabiskan ucapan semua sekali sudah setuju, contoh : Menteri Perdana mengatakan "Kerajaan mencadangkan supaya.. " pengampu "Kami bersetuju dengan cadangan tersebut". Tidak tahu cadangan apa terus sahaja bersetuju.

Banyak lagi contoh jika hendak dilampirkan, dengan kelima-lima contoh tersebut dapatlah kita ketahui bahawa negara tersebut hanyalah berkeinginan untuk melatih Mahasiswa untuk menjadi pemimpin yang lemah zahir dan batin.

Nota Kaki Bukit:
Contoh tersebut bukan fakta. Hanya sekadar contoh.

Wednesday, August 16, 2006

Cerita Adik-Adik Kita

Ya adik-adik, apakah hukumnya orang mengatakan bahawa agama Islam tarafnya atau kedudukannya sama sahaja dengan agama yang lain?

"Murtaaaaaaaaaaaaaaaaaad!!!"Adik-adik.

Ya adik-adik, siapakah yang lebih jahat daripada yahudi?

"Orang-orang yang tidak mempertahankan agamanya, membiarkan orang lain menyentuh hal agamanya!"Adik-adik lagi.

Ya adik-adik, jikalau orang yang tidak menghiraukan hal umat Islam yang lain, contoh isu murtad dan juga isu palestin, apakah yang akan terjadi?.

"Nabi kata Nabi tak mahu mengaku diorang ini umat baginda, mereka ini kompom masuk neraka!"Adik-adik.

Ya adik-adik, dalam islam hukum orang murtad apa?

"Hukum bunuh!"Adik-adik.

Ya adik-adik, siapakah yang patut diberi gelaran Bapak Iblis versi manusia?

"Orang yang membenarkan orang anti Islam bertapak di Malaysia, orang yang membenarkan gesaan IFC, orang yang menyebabkan anak-anak kami nanti boleh memilih agama apa yang mereka akan anuti nanti, mereka yang tidak membenarkan perkataan ’ISLAM’ ditulis di surat kelahiran anak-anak pakcik,makcik, kakak, abang kami yang bakal dilahirkan nanti. Mereka itulah bapak iblis walaupun dia adalah orang ISLAM!". Adik-adik lagi.

Nota Kaki Bukit:
Dialog di atas aku dengar masa dalam mimpi, masa tu aku lepak kat tepi padang, dan ada sekelompok budak-budak dan seorang dewasa. Jelas, di atas adalah contoh, bukan fakta, ya ya bukan fakta, akan tetapi hanya contoh.

Tuesday, August 15, 2006

Cerita Iblis 3 (Iblis Berjasa)

Ya ya, sana sini kita dengar perkataan iblis!, cuma aku nak lebihkan sampai ada 3 episod iblis dalam ini untuk pelengkap cerita iblis.

Ya ya, ini hanya contoh, bukan fakta.

Contoh:

Pertama,
Kepada sesiapa yang mengeluarkan air mata menyaksikan rancangan realiti, contoh : Akademi Fantasia, tidak mengeluarkan air matanya untuk Palestin dan Labenon, dan paling besar ialah tidak setitis pun penyesalan jikalau Azlina Jailani (Lina Joy) menang dalam kes murtad nanti, akan aku panggil iblis!.

Kedua,
Kepada sesiapa yang mengecam mufti yang mengatakan kes murtad dalam keadaan kritikal sekarang yang mana lebih dari angka 250 ribu yang murtad akan aku panggil iblis!.

Ketiga,
Kepada sesiapa yang menjadi dalang, iaitu orang islam sendiri, bergabung dalam IFC sebagai contoh : SIS (Sister in islam), yang orang kuat dalam tu, anak Menteri Perdana sendiri, sepatutnya menukar maksud SIS itu kepada Sister In Iblis!.

Keempat,
Kepada sesiapa sahaja yang memberi ruang dan peluang untuk kumpulan murtad ini, sama ada dia adalah orang islam mahupun pimpinan negara akan aku panggil iblis!.

Kelima,
Kepada sesiapa yang mengganggu ruang komen Amanitium, akan aku ucapkan terima kasih dan aku akan panggil dia iblis yang berjasa. Ha ha ha.

Ini adalah penutup cerita iblis, aku tak akan buat lagi topik iblis melainkan aku diganggu lagi, jika diganggu lagi, aku akan panggil Uncle Seekers, siapla engkau iblis. Ha ha ha.

Nota Kaki Bukit:
Diingatkan, contoh di atas adalah contoh bukan fakta, ingat tu, bukan fakta, ya ya ia bukan fakta, hanya contoh tidak kena mengena yang masih hidup ataupun yang telah lama duk dalam kubur.

Sunday, August 13, 2006

Cerita Iblis 2

Adapun Menteri Perdana berkata:

“Malangnya ada pihak cuba mengganggu, macam gangguan iblis, yang mengganggu kita sepanjang masa. Kita kena hadapi suasana ini dengan tenang dengan melaksanakan projek RMK-9 secara berkesan dan menggunakan segala kecekapan yang ada.

Saya tidak akan membuang masa dan menghabiskan tenaga melayan gangguan yang tidak mendatangkan manfaat kerana ia akan hanya merugikan rakyat,” katanya.

Adapun Memanda Menteri Perdana berkata:

"Seperti dalam sembahyang,Imam membaca salah, maka menjadi tanggungjawab kita menegur dan jika tidak dia, akan kekal dengan kesalahannya."katanya.

Adapun aku berkata:

"Jika ada pihak mengganggu dengan apa jua cara di blog ini, macam gangguan iblis, anda sepatutnya memberhentikannya secara serta merta, jika tidak aku akan panggil engkau iblis!."kata aku.

Hari Melawat Sedunia
'Imam salah wajib ditegur' - Tun Mahathir

Friday, August 11, 2006

Cerita Iblis

Teringat, cerita-cerita dulu, masa pilihan raya kampus, aku minum-minum dengan kroni, sambil tengok lutut-lutut awek kat 'cafe', tepi meja aku, dua orang siswi bersembang pasal pilihan raya.

"Kenapa aku tengok calon dari PMI ni hensem-hensem semua kalau nak bandingkan dengan calon Aspirasi?"Siswi 1.

"Entahlah aku, aku senang je, yang mana lebih hensem, yang tu le aku pangkah"Siswi 2.

Aku. Ha ha ha.

Aku pun menyampuk diorang cakap, walaupun, aku tak kenal.

"Korang tahu tak kenapa jadi gitu?"Aku.

"Tak tau, kenapa?"Mereka.

"Korang ingat tak, kisah iblis yang tak terima manusia sebagai khalifah di bumi?"Aku.

"Ingat, kenapa ngan tu?"Mereka.

"Secara mudahnya, orang yang tak nak bawak islam dan tolak islam, muka mereka akan nampak buruk di mata manusia."Aku.

"Oooooooooooo..."Mereka.

"Tutup mulut tu, nanti langau masuk!"Aku.

Mereka berlalu pergi, aku kebasahan setelah disimbah air oren yang berharga seringgit itu, terdengar ketawa mengekek-ngekek dari semua arah. "Ha! ha! ha!".

Satu artikel berkaitan dengan iblis, PM sifatkan pihak yang ganggu usaha bangun negara sebagai iblis.

Nota Kaki Bukit:
Cerita di atas tiada kaitan dengan PM, harap jangan disalah tafsirkan. Harap Maklum.

Wednesday, August 09, 2006

Cerita Kampung

Aku dengan Mat Yo, duk lepak-lepak kat warung Makcik Timah tepi jalan, berbual-bual sebab lama dah aku tak balik kampung.

"Aku heran la kawan kita tu, aku cakap tahniah kat dia pasal kahwin hari tu, dia marah-marah lak kat haku" Aku.

"Sape?"Mat Yo.

"Sape lagi si Kordi le.., dia cakap aku sindir dia"Aku.

"Bodohlah ko nih, si Kordi tu ngan bini dia dapat anak awal lagi sebelum nikah.. hape le ko nih.."Mat Yo.

"Oooooooooo.. Manalah aku tahu!"Aku.

Banyak cerita aku tak tahu, sebab lama dah tak balik kampung, nasib baik mak aku kenal lagi je.. Ha ha ha.

Tuesday, August 08, 2006

Sebangang Binatang Ternak

Ada satu teka-teki, teka-teki berbunyi:

"Mana satu yang terlebih bangang, di antara binatang ternak dengan binatang liar?"

Ada yang jawab, binatang ternak, orang itu menghuraikan jawapannya:

"Binatang ternak merelakan sahaja apa yang dibuat oleh Tuan dia, Tuan dia nak sembelih, dia hulurkan tekak, walaupun bertentangan kehendak dia. Binatang liar pula, disebaliknya."

Perumpamaan tu bolehlah bagi kepada manusia, yang merelakan pemerintah di negeri dia melakukan perbuatan yang bertentangan dengan agama.

Sebagai contoh:

Jika pemerintah tersebut menaikkan harga minyak dengan harga yang tinggi, dia tersenyum dan membela kerajaan, dan menyahut seruan "Rakyat perlu ubah cara hidup".

Jika pemerintah memerintah secara zalim, mengenakan hukum seperti 'ISA', tidak dianggap zalim, dan bersetuju dan mengatakan orang yang dikenakan tindakan itu adalah pengganas, walaupun tidak dibicarakan.

Jika pemerintah tersebut, membenarkan orang Islam murtad, dia juga menyokong, kerana itu hak asasi manusia, dan seharusnya rakyat diberi kebebasan untuk menukar agama.

Banyak lagi contoh akan tetapi cukuplah sekadar ini sahaja, untuk menunjukkan bertapa bangangnya orang itu sepertimana binatang ternakan tersebut.

Bayangkan betapa hinanya jika di samakan dengan binatang ternakan. Akan tetapi dia tak mengerti.

Nota Kaki Bukit:
Kebanyakan contoh, terjadi di tempat yang jauuuuuuuuuuuuh dari Malaysia, bukan di Malaysia. Kerana ku sayang Menteri Perdana.

Monday, August 07, 2006

Siasah Mesti Berprinsip

Di sebuah pondok kecil yang hampir roboh yang letaknya jauh dari Malaysia, terdengar sumpah seranah, mahupun pekik terlolong di dalam pondok tersebut.

Asro tengah berlawan dengan suara yang tidak wujud akan jasadnya. Asro kelihatan gagah dengan keris di tangan, menghunus-hunus udara.

"Diam! diam! " Asro.

"Aku dah kata, kerja islam ini buat berseorangan boleh, tidak perlu berkelompok!"Asro.

"Rasulullah dulu mewujudkan kelompok dan menguatkan atas dasar akidah yang satu, tapi kenapa kamu Asro tidak mahu menyertai kelompok? Apakah kamu ini lebih kuat dari Rasulullah?"Suara Asing.

"Itu zaman Rasulullah dulu, dah lama dah, sekarang ini orang memperjuangankan islam dengan siasah yang tanpa prinsip"Asro.

"Jikalau betul, kelompok tersebut memperjuangkan siasah tanpa prinsip, apakah sumbangan engkau wahai Asro untuk memperjuangkan Islam?"Suara Asing.

"Aku membentangkan kertas-kertas kerja mengenai syiah, islam liberal dan macam-macam lagi!"Asro dengan bangganya.

"Apakah itu isu yang diperjuangkan kerana ia tidak temasuk dalam senarai teguran kepada pihak pemerintah, iaitu pihak pemerintah lapang mendengar kamu membentang?" Suara Asing.

Asro terkedu.

"Apakah itu lesen, untuk kamu mencela kelompok membawa Islam dan membela kelompok yang memperjuangkan sekularisme dan nasionalis?"Suara Asing.

"Tidak! tidak! tidak! Siasah mesti berprinsip! Siasah mesti berprinsip!"Asro.

Sambil meradang-radang ia melontar kerisnya sehinggalah terpacak ke dahi Menteri Perdana, sebuah gambar di dinding.

"Aduh! Menteri Perdana kesayangan ku..... "Asro.

Tamatlah sudah cerita yang terjadi di ketika, umat Islam di Palestin dan Labenon bertempur dengan tentera Yahudi laknatullah dan sekutu-sekutunya.

Komen: Kesian Asro, nampak macam dah nak gila, itulah siapa suruh duk sensorang, kan bila jadi masalah tiada tempat untuk dirujuk. Hidup kita biar berkelompok, Yusof Qardawi mengatakan wajib untuk duduk di dalam kelompok islam di dalam kitab fiqh daulah karangan dia, kalau tak silap.

Nota Kaki Bukit:
Cerita di atas tiada kena mengena dengan sesiapa, tidak tahulah jika ada yang terasa, tetapi aku tetap dengan pendirian aku, bahawa cerita dan watak ini aku reka. Tiada kena mengena dengan sesiapa. Sama ada yang hidup ataupun yang telah mati.

Friday, August 04, 2006

Aku Sayang Menteri Perdana

Aku cuba untuk menampilkan blog aku ni adalah menyokong parti pemerintah, tidak ada sangkut pautnya dengan parti oposisi, aku tetap berdiri teguh dibelakang pihak pemerintah.

Walaupun, aku ditikam dari belakang, ditipu, dirompak dan sama waktu dengannya, tapi aku percaya Menteri Perdana, tidak akan membiarkan aku dalam keadaan begini.

Sebab itulah Menteri Perdana senyap sejuta bahasa, bila Che Det menyoal bertubi-tubi, akhirnya Menteri Perdana, mengeluarkan arahan untuk memantau blog.

Sayang sungguh Menteri Perdana kepada kami semua, itulah mengapa aku sayang sangat kepada dia.

Sebagai lambang kesayangan aku, PakDi telah menolong aku untuk menzahirkan melalui logo yang indah. Tidak perlu lagi aku bermonolog di dalam hati.

Photobucket - Video and Image Hosting

Zahirkan kesayangan anda untuk Menteri Perdana dengan melekatkan logo ini di blog-blog yang mana, prihatin bersetuju dengan keputusan kerajaan menaikkan harga minyak, elektrik, membantah IPMC, dan menyokong menantu Menteri Perdana.

Aku juga mengambil sikap, jangan curi bandwith aku, save gambar tersebut, letak sendiri dalam hosting anda semua.

Nota Kaki Bukit:
Walau apa pun jua terjadi, aku tetap menyokong kepimpinan Menteri Perdana, biarlah orang hendak mengutuk dan mengecam. Terima Kasih Menteri Perdana!

Kalau You Tak Suka, You Keluar Dari Malaysia!!

Blog, blog, blog, jika dulu perkataan ini langsung tidak memberi makna kepada pihak pemerintah, sejak akhir-akhir ini, 'blog' diberi perhatian khusus oleh pihak pemerintah.

Jika dulu, tercari-cari idea, macam mana hendak menaikan hits setiap hari, bagaimana hendak tarik pengunjung ramai-ramai ke blog?, bagaimana hendak memperkenalkan rakyat kepada blog?

Persoalan tersebut banyak dijawab, "ceritalah bab sex, lucah, gay, lesbian, nescaya hits ko cecah seribu setiap hari."

Kini pemilik blog hanya mampu tersenyum, kerana pelayar internet sekarang, berusaha untuk kenal, 'menatang' apa itu blog? 'Hits' akan meningkat.

Nasib pemilik blog tidak ubah seperti mana nasib penoreh getah, mampu tersenyum setiap hari, jika penoreh getah mengira keuntungan, pemilik blog pula mengira kepuasan.

Kerajaan mempunyai banyak masa lapang sekarang, sampaikan "Kabinet mahu blog internet dipantau." Sekurang-kurangnya seorang akan masuk di blog anda untuk membaca entry terbaru setiap hari. Ha ha ha.

"Kalau you tak suka peraturan ni, you boleh keluar dari Malaysia", ucapan yang mungkin diucapkan kepada penulis blog yang tidak suka blognya dipantau.

Terima Kasih kepada Kerajaan atas keperihatinan anda, terima kasih kerana membaca tulisan kami setiap hari.

Nota Kaki Bukit
Entry ini tidak menyiarkan bahan berunsur hasutan, fitnah atau bercanggah dengan undang-undang. Hanya memuji kerajaan sahaja. Jangan di salah tafsirkan.

Tuesday, August 01, 2006

Membaca Budaya Kita

Kami sebilik, dilanda demam, demam yang amat menggerunkan, kerana sakit ini hanya boleh diubatkan dengan wang dan masa sahaja.

Kami dilanda demam membaca novel karya Ramlee Awang Murshid.

Kami hanya redha dan menyalahkan Fakrul, kerana membawa virus ini kepada kami semua, menyebabkan tiada masa untuk kami bermain game dan menonton DVD.

Bermula dengan 'Bagaikan Puteri' kami terus memburu novel karya Ramlee, antaranya Tumbiruo, Semangat Hutan, Tumbirou Terakhir, Hatiku Di Harajuku, Mandatori, Satu Janji dan Rahsia Perindu.

Setakat ini aku baru berjaya habisan Mandatori, Bagaikan Puteri dan Hatiku Di Harajuku. Masih tinggal 5 novel lagi belum di habiskan.

Kami sebilik menyahut seruan Kerajaan, "Membaca Budaya Kita.... "

Spekulasi dan Subversif

Jika dulu, aku adalah seorang penulis blog menjurus ke arah politik, alhamdulillah respon dari pengunjung amat memberangsangkan. Itu dulu.

Sekarang, ingin mengubah konsep penulisan, supaya tidak menimbulkan spekulasi dan juga 'story' tidaklah subversif.

Kita cuba mempelbagaikan keupayaan. Insyallah.

Teringat ketika mula-mula ada blog, 'content' tak berapa hirau, main 'copy n paste' aje, yang paling ambil berat, dekat 'sidebar', tidak dapat tidak mesti nak penuhkan, tak kira, dengan jam, shoutbox dua tiga bijik, link member-member, 'paper', sampailah link jabatan kerajaan.Ha ha ha.

Itu dulu.

Sekarang ini mampu tersenyum bila terbaca berita Kerajaan pantau laman web dan sms, kalau dulu, mesti menggelabah.

Mungkin selepas ini, jika anda hendak menulis sesuatu di dalam internet, anda memerlukan permit.

Ataupun anda perlu mengambil langkah seperti mana entry terbaru Pak Di, jika anda boleh lakukannya. Syabas diucapkan.

Mungkin, mungkin, mungkin.